PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn. Bhd sedang meneliti kemungkinan untuk menambah kekerapan tren berikutan penutupan beberapa laluan utama sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd, Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, pihaknya mengambil maklum saranan kerajaan supaya orang ramai menggunakan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan tren sepanjang tempoh persidangan berlangsung.
“Buat masa ini, operasi tren akan berjalan seperti biasa. Namun, kami sedang meneliti semula keperluan untuk menambah bilangan tren sekiranya terdapat peningkatan jumlah pengguna.
“Kita juga sedang mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh kekerapan tren pada waktu puncak bagi memudahkan pergerakan penumpang berikutan penutupan beberapa jalan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Taklimat Khas Berkenaan Penambahbaikan Operasi Rel Rapid KL di Menara Prasarana, di sini hari ini.
Nor Azmi memberi jaminan pihaknya akan memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN dengan pemantauan rapi di semua laluan tren utama.
“Sekiranya terdapat keperluan, kami bersedia menyesuaikan jadual operasi bagi memastikan pengguna tidak terjejas,” katanya.
Terdahulu menurut hantaran di media sosial The Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3), beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara akan ditutup secara berperingkat mulai 26 hingga 28 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Penutupan jalan akan dilaksanakan secara berkala selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi delegasi bertaraf tinggi sepanjang tempoh sidang tersebut. – KOSMO! ONLINE.