PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial berdepan detik cemas apabila seekor ular sawa tiba-tiba muncul di dapurnya ketika dia baru sahaja selesai memasak.
Menerusi satu hantaran video di TikTok, pengguna akaun @intanshazrina._ sempat merekod reptilia berkenaan yang kelihatan tenang berada di kawasan dapurnya.
“Bila ada tetamu yang tak diundang nak makan sup ayam yang kau baru masak,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menurutnya di ruangan komen, dia tidak menyedari kehadiran ular tersebut sehingga dia pergi menghampiri kawasan dapur ketika ingin mengambil lauk.
“Saya tak perasan. Waktu nak tambah lauk saya buka penutup periuk, tahu-tahu ada depan muka.
“Dari jauh nampak benda berjuntai, tapi saya ingat besi sebab saya rabun. Dah buka periuk baru saya perasan, nasib baik tak kena sambar,” katanya.
Rata-rata pengguna media sosial turut terkejut dan meninggalkan komen lucu terhadap kejadian itu.
“Beraninya ambil gambar, kalau saya memang tak pandang lagi dah. Terus lari jauh-jauh,” komen @Rosmawatie.
“Terliur sangat tu cara renung, teringin sangat sup ayam sampai air liur pun ikut meleleh,” kata @Sofea.
“Gelinya. Ni kalau depan mata aku, tak tahu lah. Memang terkejut, sumpah seranah, makian semua dia kena,” komen @Anggun. – KOSMO! ONLINE