fbpx
Keadaan kerosakan ribut di sekitar Telok Panglima Garang semalam.

Ribut: 65 mangsa ditempatkan di tiga PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Seramai 65 mangsa melibatkan 21 keluarga ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Klang, Sijangkang dan Shah Alam selepas rumah mereka rosak akibat ribut serta puting beliung yang melanda petang semalam.

Ribut yang melanda turut menyebabkan kerosakan pada bangunan Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang dan surau Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Telok Panglima Garang.

Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Meru menempatkan seramai 42 mangsa daripada 12 keluarga.

Sementara itu, 18 mangsa daripada lapan keluarga berlindung di Dewan Harmoni Batu 7, Sijangkang, manakala lima sekeluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman, Shah Alam.

Pemindahan itu turut melibatkan lima warga emas, dua orang kurang upaya (OKU), 25 kanak-kanak serta seorang bayi perempuan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti keadaan semasa di kawasan terjejas selain memastikan bantuan segera disalur kepada semua mangsa.

“PPS telah dibuka oleh Unit Bencana Daerah dan bantuan segera akan disalurkan. Kerajaan negeri juga akan terus memantau kesan ribut serta hujan lebat yang berlaku sejak beberapa hari ini.

“Doa saya buat semua mangsa agar diberikan kesembuhan dan keselamatan daripada segala mudarat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI