fbpx
MOHD. YUSRI.

Raptai Sidang Kemuncak ASEAN dilaksana mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan lencongan jalan dan penyuraian trafik sempena penganjuran Mesyuarat Kepengerusian ASEAN ke-47 (ASEAN Summit 2025) yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, aktiviti raptai atau dry run pergerakan motoked akan diadakan mulai 17 hingga 24 Oktober ini.

Katanya, ia melibatkan laluan dari lapangan terbang ke hotel-hotel penginapan sekitar Kuala Lumpur, Seri Negara dan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

“Sebanyak 1,244 pegawai kanan dan pegawai rendah polis daripada JSPT akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran pergerakan semasa tempoh raptai serta sidang kemuncak berlangsung.

“Penugasan penuh akan bermula pada 25 hingga 28 Oktober dengan pelaksanaan lencongan jalan serta penyuraian trafik membabitkan enam lebuh raya utama dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan laluan yang terlibat dan menggunakan jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.

Tambahnya, pemandu juga digalakkan merancang perjalanan lebih awal, menyusun semula aktiviti pada tarikh persidangan serta mematuhi arahan petugas trafik di lokasi.

“Pengguna jalan raya diminta mematuhi waktu larangan bagi kenderaan perdagangan dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti monorel, LRT, MRT dan bas untuk mengelakkan kesesakan di kawasan terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI