fbpx
Nor Azmi semasa sesi taklimat dan sidang media penambahbaikan operasi rel Rapid KL di Menara Prasarana, Petaling Jaya, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Rapid Rail terima 27 tren baharu, penghadang platform siap dalam 16 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn. Bhd. menerima sebanyak 27 tren baharu bagi laluan Kelana Jaya yang kini digunakan dalam operasi harian sekali gus memperkukuhkan sistem rel sedia ada.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, penerimaan tren baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

Katanya, langkah itu juga membolehkan Rapid Rail menggantikan tren lama yang mencapai had usia operasi bagi memastikan perjalanan lebih lancar selain mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan.

“Setakat ini, 27 tren baharu diterima dan digunakan dalam operasi, manakala 26 tren lagi akan diperoleh secara berperingkat bagi menggantikan tren lama. Projek ini telah diluluskan kerajaan dengan peruntukan RM1 bilion,” katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat Khas Penambahbaikan Operasi Rel Rapid KL di Menara Prasarana, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memasang penghadang keselamatan (platform barrier) di laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling sebagai langkah tambahan bagi menjamin keselamatan penumpang.

“Kerja-kerja fizikal masih belum dimulakan, tetapi projek telah diluluskan dan proses tender sedang berjalan. Kami menjangkakan pemasangannya siap sepenuhnya dalam 16 bulan,” katanya.

Jelasnya, bagi fasa pertama, Rapid Rail akan memasang penghadang sementara meliputi 70 peratus daripada ruang terbuka platform, sebelum beralih kepada pemasangan pintu platform automatik (platform gate) pada fasa kedua.

“Langkah ini diambil kerana pemasangan ‘platform gate’ sepenuhnya memerlukan masa yang lebih panjang, jadi sementara menunggu pelaksanaannya, kami akan pasang penghadang sementara untuk mengurangkan risiko penumpang terjatuh di platform,” katanya.

Nor Azmi berkata, usaha penambahbaikan ini seiring dengan sasaran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mencapai 1.35 juta perjalanan penumpang sehari menjelang Disember ini, selain memastikan sistem pengangkutan awam kekal selamat, efisien dan boleh dipercayai. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI