fbpx
HANNAH

Pilih lawan, bukan sekadar hantar pelapis – Hannah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan keputusan menghantar pemain elit ke Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini perlu dibuat secara strategik dengan menimbang kekuatan lawan serta harapan tinggi rakyat terhadap sukan badminton.

Pengalaman edisi Kemboja 2023 menjadi pengajaran besar apabila percubaan menurunkan skuad pelapis tidak membuahkan hasil dan gagal mencapai sasaran satu emas, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan peminat.

“Ketika di Kemboja, kita beri peluang kepada pelapis untuk bertanding sebagai pendedahan awal. Apabila keputusan tidak memihak, ramai kecewa kerana badminton dianggap antara sukan utama yang sentiasa menyumbang pingat untuk Malaysia,” katanya.

Hannah menegaskan badminton, bersama bola sepak, mempunyai pengaruh besar terhadap emosi rakyat Malaysia dan setiap keputusan sama ada menang atau kalah sentiasa menjadi tumpuan umum.

Justeru, pemilihan kali ini perlu dibuat dengan lebih berhati-hati agar ia tidak hanya memberi pendedahan kepada pelapis, tetapi juga memastikan prestasi negara di pentas serantau terus terpelihara.

“Apabila lawan seperti Indonesia dan Thailand menghantar pasukan terbaik, kita tidak boleh sekadar menghantar pelapis. Kalau pelapis bertemu pemain elit lawan, mereka akan kalah sebelum sempat mendapat pengalaman yang bermakna,” ujarnya.

Atas sebab itu, Hannah memaklumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini mengambil pendekatan lebih realistik dengan menurunkan barisan terkuat di Thailand bagi memastikan skuad negara kekal kompetitif dan tidak dipalit kekecewaan berulang.

Dalam masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memuktamadkan sasaran pingat keseluruhan selepas sesi konsultasi bersama jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan.

“Kita akan umumkan jumlah pingat tidak lama lagi selepas KBS berbincang dengan semua pasukan dan jurulatih. Penting untuk pastikan setiap keputusan selaras dengan kemampuan atlet dan strategi lawan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI