PETALING JAYA – Sebuah permainan video terkenal dikaitkan dengan nota yang dirampas daripada suspek kes menikam mati pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini kelmarin.
Menerusi beberapa hantaran di media sosial, netizen mendakwa permainan itu turut didakwa memaparkan suasana seperti di kawasan sekolah, melibatkan pergaduhan menggunakan serangan bersenjata.
Untuk rekod, nota tersebut mengandungi kata-kata seperti ‘dunia ini palsu’ selain menegaskan semua orang hanyalah watak (dalam permainan video) dan bukan pemain sebenar.
Perkongsian tersebut menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap pendedahan permainan video terhadap golongan muda terutama remaja.
Tinjauan Kosmo! mendapati rata-rata pengguna media sosial bimbang dengan naratif suspek kes pembunuhan tersebut yang berkemungkinan terpengaruh dengan permainan video.
“Anak saya pun main permainan video itu, tapi di bawah pengawasan saya sepenuhnya. Bagi saya, setiap permainan video seharusnya mengikut had umur sepatutnya,” kata @Shzra_hsn
“Waktu dengar kes pembunuhan di sekolah, memang terus teringat satu permainan video yang tikam dan tumbuk sesama sendiri di sekolah,” kata Safra.
“Dalam permainan video itu memang tak sesuai untuk remaja di bawah umur. Anak saya pun pernah ketagih sampai 4 pagi pun masih bermain permainan video tersebut, terus saya ‘haramkan’ permainan itu,” kata Nurul.
Selain itu, seorang pengguna di aplikasi Threads menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat atau mengharamkan permainan video tersebut.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan siasatan masih dijalankan dengan penilaian latar belakang mangsa dan suspek termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah itu. -KOSMO! ONLINE