IPOH – Perak risau lambakan peluang pekerjaan yang dicipta daripada pelbagai aktiviti ekonomi berskala besar di negeri ini hanya akan diisi oleh warga asing.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, risiko itu disuarakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Putrajaya semalam.
Kata beliau, kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh pemimpin dari tiga lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Hal ini tidak baik untuk perkembangan ekonomi tempatan. Kita kena fokus tentang kaedah bagaimana peluang pekerjaan ini harus diisi oleh orang tempatan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Seminar 2.0 Kenapa Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (iESG) dan Revolusi Industri (IR) 5.0 di sini hari ini.
Kata Saarani, Perak dijangka mencipta banyak peluang pekerjaan menerusi pemindahan kilang syarikat kereta nasional Proton dari Shah Alam, Selangor ke Tanjong Malim, pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara di Lumut, di bawah Petronas serta projek pengairan Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah yang bernilai RM6.2 bilion.
Katanya, antara usaha kerajaan negeri pada masa ini adalah menekankan kursus pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) kepada para pelajar, ibu bapa, guru serta golongan muda agar dapat memenuhi permintaan industri.
“Pembangunan ini memerlukan kita semua pecah kepala untuk memikirkan bagaimana untuk melahirkan jurukimpal tempatan bagi memenuhi permintaan industri dalam tempoh terdekat ini.
“Jika orang Perak tak cukup, kita kena guna pekerja dari negeri lain. Yang menjadi kebimbangan saya, kena ambil orang Indonesia, Bangladesh atau Myanmar. Ini satu keadaan yang tidak baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE