TUMPAT – Tertekan dengan gangguan bekalan air bersih sejak dua bulan lalu menyebabkan penduduk Kampung Pak Keral di sini, memasang kain rentang sebagai tanda protes.
Tinjauan mendapati sebanyak lima kain rentang digantung di sepanjang jalan termasuk di laluan masuk Masjid Mukim Pak Keral.
Seorang penduduk, Nor Hayati Yaakob, 49, berkata, dia menyedari kain rentang itu dipasang sejak kelmarin, namun tidak mengetahui individu yang bertanggungjawab berbuat demikian.
Katanya, masalah gangguan air sudah berlarutan selama lebih dua bulan sebelum terputus sejak seminggu lalu.
“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa membawa air dari telaga jiran dengan motosikal roda tiga yang terletak hampir 500 meter dari rumah. Ada penduduk yang membeli air dalam kuantiti yang banyak untuk diminum atau kegunaan memasak,” katanya.
Nor Hayati berkata, dia bimbang sekiranya masalah itu akan berlarutan kerana keluarganya akan mengadakan kenduri kahwin anaknya pada minggu hadapan.
Oleh itu Nor Hayati berharap pihak AKSB dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan secepat mungkin.
Seorang lagi penduduk, Khairul Azhar Razali, 41, berkata, dia bergantung dengan air hujan sejak bekalan air terputus.
“Saya bersyukur kerana hujan lebat pada waktu petang sejak beberapa hari lalu. Air tadahan itu digunakan untuk mandi dan membasuh. Rumah kami ada air telaga tiub, namun airnya agak keruh dan berbau,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, tindakan segera sudah diambil dengan menghantar lori air bergerak ke kawasan terjejas.
“Selain itu, penyelesaian sementara turut dijalankan dengan menempatkan satu unit tangki statik di hadapan Masjid Mukim Pak Keral hari ini (semalam) dan tujuh unit lagi esok (hari ini),” kata beliau.














