DHAKA – Pendakwa raya Bangladesh hari ini meminta bekas perdana menteri yang melarikan diri, Sheikh Hasina dihukum mati dalam perbicaraan berhubung pertuduhan melakukan jenayah kemanusiaan.
Sheikh Hasina mengingkari perintah mahkamah untuk kembali dari India, tempat dia melarikan diri tahun lalu, bagi berdepan tuduhan mengarahkan tindakan keras dalam percubaan gagal untuk menghancurkan pemberontakan pelajar.
Sehingga 1,400 orang terbunuh dalam pertempuran antara Julai dan Ogos 2024, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kami menuntut hukuman paling berat,” kata ketua pendakwa raya, Tajul Islam kepada wartawan di luar mahkamah.
“Untuk satu pembunuhan, satu hukuman mati adalah peraturannya. Untuk 1,400 pembunuhan, dia sepatutnya dihukum 1,400 kali tetapi kerana itu tidak mungkin, kami menuntut sekurang-kurangnya satu hukuman mati,” tambahnya.
Pihak pendakwa raya berkata, Sheikh Hasina, 78, adalah dalang di sebalik semua jenayah yang dilakukan semasa pemberontakan Julai-Ogos.
Bekas pemimpin itu dibicarakan tanpa hadir bersama dua bekas pegawai kanannya.
Bekas menteri dalam negerinya, Asaduzzaman Khan Kamal juga seorang pelarian, manakala bekas ketua polis Chowdhury Abdullah Al-Mamun berada dalam tahanan dan mengaku bersalah.
Pendakwaan mengatakan bahawa Kamal juga harus dijatuhi hukuman mati. – AFP