PETALING JAYA – Malaysia sedang menyelaras tindakan segera bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin susulan perkembangan terkini konflik di wilayah berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama rangkaian masyarakat sivil yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Nusantara telah mengadakan pertemuan hari ini.
Katanya, ia bagi menyusun langkah bantuan sewajarnya yang akan digerakkan segera.
“Saya tegaskan, bahawa pelan bantuan dari Malaysia mesti dikoordinasi dengan teliti dan berkesan agar setiap bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia akan terus menzahirkan solidariti dan komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin melalui tindakan nyata yang disusun secara bersepadu dan penuh tanggungjawab
“Dengan kebijaksanaan, kecekapan dan semangat solidariti yang kita tunjukkan, saya yakin usaha ini akan membantu meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Gaza dan menjadi lambang keprihatinan serta kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin,” tegasnya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan satu pertemuan bersama beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan akan diadakan minggu ini bagi membincangkan strategi lebih terperinci mengenai pelaksanaan gelombang kedua penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin, melalui jalan darat di Mesir.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre, Sany Araby Abdul Alim memohon keizinan Anwar untuk menggerakkan gelombang kedua misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza melalui jalan darat di Mesir – KOSMO! ONLINE