LONDON – Seorang pengurus hartanah menyaman majikannya atas dakwaan melakukan diskriminasi selepas pihak pengurusan tidak menghantar ucapan tahniah sempena ulang tahun bekerja yang pertama, lapor akhbar Metro UK semalam.
Plaintif, Rita Nunn berkata, dia berasa terabai selepas tidak menerima teks ucapan tahniah dalam kumpulan sembang kerja di aplikasi WhatsApp syarikat pengurusan hartanah HEM, demikian menurut perbicaraan di tribunal pekerjaan.
Menurutnya, majikannya mengucapkan ulang tahun kepada pekerja lain dalam kumpulan sembang itu.
Bagaimanapun, majikan berkata, mereka menghentikan tradisi itu selepas kakitangan lain mengadu tentang jumlah besar mesej yang diterima.
Bagaimanapun, Nunn masih menyaman syarikat tersebut untuk diskriminasi kehamilan selepas dia memberitahu mereka bahawa dia hamil, dua bulan sebelumnya.
Dia menambah, kakitangan lain menerima ucapan tahniah tetapi bos-bos menegaskan bahawa mereka adalah kes ‘luar biasa’.
Dakwaan Nunn ditolak oleh hakim pekerjaan yang mengatakan bahawa dia tidak dilayan dengan buruk dan mesej sedemikian ‘bukan satu hak’. – AGENSI