fbpx
BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.

Pearly-Thinaah tersingkir awal di Terbuka Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aksi hambar terus menghantui kem badminton negara apabila beregu wanita utama, Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir di pusingan 16 Terbuka Denmark selepas tewas mengejut kepada gandingan baharu Jepun, Arisa Igarashi-Chiharu Shida, sebentar tadi.

Pasangan No. 2 dunia itu yang berdepan Igarashi-Shida buat kali pertama, gagal menemui rentak sebelum akur dengan kekalahan 8-21, 9-21 dalam tempoh hanya 35 minit di Arena Fyn, Odense.

Naib juara Kejohanan Dunia itu tampak lesu dan kerap melakukan kesilapan mudah, manakala pasangan Jepun beraksi agresif dan konsisten sepanjang perlawanan.

Kekalahan itu menambah derita skuad negara yang terus bergelut untuk mencari rentak di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 750 itu.

Prestasi Pearly-Thinaah kali ini juga dianggap mengecewakan memandangkan mereka baru sahaja menjuarai Terbuka Artik minggu lalu serta muncul naib juara dunia pada Ogos lalu.

Meskipun kecewa, Pearly-Thinaah tetap menunjukkan musim yang konsisten dengan enam penampilan di pentas final dan dua kejuaraan setakat ini.

Terdahulu, tujuh lagi wakil negara termasuk dua beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut tersingkir seawal pusingan pertama, sekali gus menutup peluang Malaysia untuk mara lebih jauh di Denmark. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI