KUALA LUMPUR – Semua agensi perlu bersiap siaga untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negara dalam masa terdekat.
Ini kerana kata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, luruan angin monsun berkenaan telah mula sampai di sekitar negara-negara ASEAN di sebelah utara.
Menurutnya, luruan angin itu akan turun ke Semenanjung Malaysia, khususnya ke pantai timur dan pantai barat Sarawak dan Sabah.
“Tetapi mengikut MetMalaysia (Jabatan Meteorologi), tahun ini mungkin agak kurang kesan pada Monsun Timur Laut dan kita harap begitulah yang akan berlaku.
“Namun kesiapsiagaan ini penting sebab kita mahu menyelamatkan nyawa, menyelamatkan dokumen penting dan juga harta benda,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian SME Ventures ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan MetMalaysia untuk melaksanakan amaran awal di mana pemindahan harus dilakukan sebelum air naik.-KOSMO! ONLINE