fbpx
Heliza mendedahkan peguam terlibat dengan misi GSF berjuang untuk mendapatkan kembali kapal GSF. - AFIQ RAZALI

‘Mereka buang semua termasuk deodoran, ubat-ubatan kami bawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Peguam kami cuba perjuangkan untuk dapatkan kapal balik. Cuma barang peribadi kami macam susah.”

Demikian perkongsian penyanyi dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi berkenaan kapal termasuk barangan peribadi yang diambil tentera Israel sewaktu menjadi tahanan rejim Zionis.

Heliza, 39, memaklumkan pihak tentera memeriksa setiap barangan yang dbawa ketika ditahan di penjara Ktzi’ot di tengah Gurun Negev, wilayah Palestin.

“Dalam beg kami macam biasa ada baju dan barang keperluan yang sangat minima. Dia (tentera Israel) periksa satu-satu.

“Dia buang semua benda termasuk deodoran, pencuci muka dan ubat-ubatan. Cermin mata saya pun tiada,” ujarnya.

Pada masa sama, pelantun lagu Ayat Cinta Dari Tuhan itu turut berkongsi pengalaman apabila semua wang tunai miliknya dirampas, walaupun dijanjikan akan dipulangkan selepas keluar dari tahanan.

“Saya ada bawa duit (matawang) dolar, euro dan Ika (Hazwani) bawa ringgit. Dia kata boleh ‘declare’, nanti keluar dapat balik lepas keluar penjara.

“Tapi saya tak ‘declare’ semua sebab nak uji mereka. Kami kena tandatangan satu borang, namun dia buat pemeriksaan sekali lagi dan jumpa duit saya simpan sikit.

“Terpaksa masuk dalam balik untuk ‘declare’ sekali lagi tapi duit itu tak dapat balik. Dia periksa semua benda hampir tujuh jam, baik ambil saja semua tak perlu tandatangan borang semua,” jelasnya.

Terdahulu, Heliza bersama 22 lagi aktivitis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia dibebaskan daripada tahanan tentera Israel selepas dipenjara selama dua hari.

Kesemua mereka dihantar pulang menaiki pesawat komersial dari Israel ke Istanbul, Turkiye bersama aktivitis daripada beberapa negara lain.

Kesemua 500 aktivitis kemanusiaan daripada 44 buah negara telah ditawan tentera Zionis sewaktu kapal mereka memasuki zon merah menuju ke Gaza.

Sebelum menyerahkan diri kepada tentera Israel, kesemua mereka telah membuang telefon pintar masing-masing ke dalam laut sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain Heliza dan Hazwani, antara aktivis daripada Malaysia yang terlibat ialah Ardell Aryana, Zizi Kirana, Farah Lee dan PU Rahmat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN