Pada awalnya, saya merancang untuk memancing di Tanjung Tualang, Perak bersama Along. Namun pada saat akhir, dia mengajak saya mencuba di Lembah Jernih pula. Saya terus bersetuju memandangkan saya sendiri tidak pernah memancing di sini, walaupun sering melewati jalan Lahat ke Batu Gajah tersebut.
Seawal pukul 7.15 pagi, saya telah pun sampai, dan sejurus kemudian Along sampai bersama botnya. Selepas membayar tiket di kaunter, kami terus bergerak ke tepi lombong untuk menurunkan bot.
Mengikut Along, keadaan air yang sangat surut kebiasaannya tidak praktikal untuk memancing terutamanya jika menebing.
Saya tidak mahu memikirkan sangat kerana itu adalah kali pertama saya di sini. Saya amat teruja ingin merasai pengalaman memancing di sini.
Keadaan samai yang padat dan tebal membuat kami sukar untuk menggerakkan bot menggunakan thrusters, dan ada ketika perlu mendayung.
Kelibat toman bujang dan gerombolan anak-anak toman banyak kelihatan, namun tiada seekor pun ingin membaham pelbagai gewang yang kami hulurkan. Mungkin keadaan air lombong yang sangat jernih membuatkan ia culas.
Along mencadangkan agar menuju ke lombong bersebelahan dengan melalui lorong kecil di bahagian hujung lombong. Keputusan masih sama, dia hanya mendapat satu kali sambaran toman, tetapi tidak membaham tepat gewangnya.

Penyelamat ‘kumpau’
Setelah hampir sejam lebih berada di lokasi ini tanpa sambaran, kami keluar semula ke lokasi awal tadi dan mula cuba mengilat ikan peacock bass (PB) kerana toman nampaknya langsung buat tidak tahu pada gewang-gewang yang kami sua.
Percubaan menggunakan gewang seperti pencil, minnow dan bermacam-macam lagi juga langsung tidak menghasilkan sambaran daripada PB, walaupun hampir segenap inci lombong kami telah tawaf.
Mengikut Along, keadaan air yang sangat surut mungkin membuatkan PB gemar berada di kawasan dasar lebih dalam. Gewang yang dapat turun hingga ke dasar seperti soft plastic (SP) tanpa tersangkut di samai dirasakan lebih praktikal.
Along mula menggunakan SP jenis worm dengan kaedah Texas rig, dan mula mendapat getuan PB, tetapi masih belum membuahkan hasil. Melihat potensi itu, saya mencuba pula kaedah Carolina rig bersama SP jenis paddle tail.
Balingan kedua saya terus di sambar PB apabila saya mengarau perlahan di dasar. Pada mulanya, saya menyangka ia bersaiz kecil kerana getuannya perlahan sahaja.
Namun sangkaan saya meleset kerana sebaik sahaja joran disembat, ia terus membenam.
Mujur saya menggunakan tali sulam 15lb Tuff Line XP yang kuat untuk mengekang ikan tersebut dari membelit samai. Apabila dinaikkan, saya berasa amat puas hati kerana ukurannya tepat di angka 50 sentimeter (sm) pada pita pengukur.
Sememangnya benar seperti apa diceritakan oleh rakan-rakan saya yang pernah memancing di sini. Ikannya sangat culas tetapi jika kena, pasti berbaloi dengan usaha memujuknya.
Apa yang pasti, tempat ini cukup sesuai untuk membawa famili memancing bersama kerana kemudahan yang disediakan.
Saya pasti akan turun bersama keluarga ke sini nanti untuk trip susulan.














