KUALA LUMPUR – Seorang pemuda terpaksa melupakan sementara impiannya untuk menyambung pengajian di universiti selepas diuji dengan masalah kewangan dan menjual makanan di kaki lima bagi menampung kehidupan.
Muhammad Ashraf Saipul Nizam, 23, yang menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam jurusan pentadbiran perniagaan mengambil langkah berat itu kerana bapanya tidak lagi bekerja disebabkan sakit, selain ibunya yang turut berdepan masalah kesihatan.
Katanya, dia menuntut di UniKL sejak Mac tahun lalu, namun terpaksa berhenti pada akhir Jun tahun sama.
“Sebelum ini bapa saya bekerja sebagai tukang masak di kedai makan. Disebabkan masalah kesihatan seperti lemah jantung, buah pinggang dan gout, dia tidak boleh berdiri lama.
“Ibu pula suri rumah dan lumpuh sejak 19 tahun lalu. Jika hendak bangun, dia perlu dipapah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di hadapan Stesen MRT Bukit Bintang di sini kelmarin.
Muhammad Ashraf yang merupakan anak tunggal berkata, sebelum ini dia bekerja menjual telefon di Bandar Tun Razak di sini sebelum timbulnya idea untuk menjual sandwic secara sambilan.
“Saya mula menjual 10 bungkus sandwic dahulu sebelum dinaikkan 20 bungkus dengan harga RM5 setiap satu. Saya peroleh modal daripada pendapatan menjual telefon.
“Kemudian, saya naikkan jualan sandwic kepada 30, 40 dan paling tinggi 50 bungkus. Sebelum ini saya menjualnya di Stesen MRT Maluri pada waktu pagi,” katanya.
Muhammad Ashraf berkata, setiap hari dia terpaksa bangun pukul 2 pagi untuk menyediakan sandwic, manakala mihun goreng yang dijual RM5 sebungkus pula dimasak oleh bapanya.
“Alhamdulillah dapat sambutan, wang jualan saya gunakan untuk selesaikan bayaran hutang termasuk motosikal, beli barangan dapur dan keperluan di rumah,” katanya yang berniaga setiap hari kecuali Ahad.
Ditanya mengenai pengajiannya di UniKL, pemuda itu berkata dia memasang impian untuk menuntut ilmu sehingga peringkat sarjana.
“Memang nak sambung belajar, tapi buat masa sekarang, saya perlu cari duit dahulu dan teruskan bekerja. Saya minat bidang perniagaan dan sebab itu saya berhenti kerja di tempat lama.
“Saya sambung belajar jurusan pentadbiran perniagaan sebab masih kekurangan ilmu dalam bidang ini. Sebelum ini saya bekerja selepas mendapat diploma pengurusan halal.
“Saya berhenti kerja sebab nak sambung belajar peringkat ijazah sarjana muda, namun terpaksa berhenti seketika,” katanya.
Kisah Muhammad Ashraf berniaga sandwic tular di media sosial selepas dikongsi rakannya yang juga pelajar UniKL sehingga mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.














