KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Karakter bermula tahun depan bagi memperkasakan pembangunan peribadi dan sahsiah murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM ketika ini sedang membuat persiapan bagi pelaksanaan kurikulum itu yang akan dimulakan di peringkat pra sekolah terlebih dahulu.
Menurut beliau, subjek baharu itu akan menjadi tunjang kepada Kurikulum Persekolahan 2027 selain KPM terus memberi tumpuan kepada aspek nilai, akhlak dan peribadi yang terkandung dalam kurikulum sedia ada.
“Kita ketika ini membuat persiapan berkaitan kurikulum 2027 iaitu kurikulum baharu yang mana dalam kurikulum ini terdapat satu mata pelajaran yang penting dan diteras kepada semua iaitu Pendidikan Karakter.
“Pendidikan Karakter ini akan menjadi tunjang kepada kurikulum baharu yang akan bermula 2026, tahun hadapan, manakala yang terkait rapat dengan nilai, akhlak, peribadi semua sudah pun berada dalam kurikulum kita itu panjang.
“Perdekatan pendidikan karakter ini akan menjadi tunjang yang dihasratkan oleh seluruh warga pendidikan terkait rapat dengan pendidikan karakter,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berhubung kurikulum yang menekankan pembinaan sahsiah, jati diri dan nilai murni murid.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkaitan kesihatan mental, Fadhlina berkata, KPM melaksanakan saringan minda sihat terhadap murid dua kali setahun.
Katanya, jika terdapat tanda kemurungan dan tekanan, murid memerlukan sokongan dan intervensi akan dirujuk kepada pihak lebih berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan.
Ujar beliau, intervensi melalui pakar psikiatri sudah berlangsung, tetapi dengan reformasi serta-merta akan memperkukuhkan lagi dengan latihan dan program yang segera.
Kata beliau, usaha itu namun harus juga didukung oleh ibu bapa kerana ibu bapa yang berada dengan anak-anak dalam rumah. – KOSMO! ONLINE