fbpx
Malaysia kini berada dalam fasa persiapan akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Malaysia tuan rumah berwibawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJELANG pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Malaysia kini berada dalam fasa persiapan akhir bagi memastikan kejayaan acara berprestij serantau ini.

Sidang kemuncak yang bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menandakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN 2025, tetapi turut menjadi medan penting bagi memperkukuh kerjasama politik, keselamatan, ekonomi dan sosial budaya antara negara-negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama rantau ini.

Sidang kemuncak ini akan dimulakan lebih awal dengan beberapa mesyuarat teknikal dan penyelarasan diplomatik. Pada 23 Oktober, agenda dimulakan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN (CPR) 10/2025 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan (SOM) ASEAN.

Mesyuarat awal ini berperanan penting dalam memperhalusi dokumen-dokumen dasar serta kenyataan bersama yang akan dibentangkan semasa sidang kemuncak kelak, khususnya berkaitan hala tuju ASEAN selepas 2025.

Hari berikutnya, 24 Oktober 2025, menyaksikan pelaksanaan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan pelancaran tiga inisiatif utama yang bakal menjadi mercu tanda baharu integrasi serantau, iaitu penubuhan Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi PKS dalam Peralihan Hijau, penerbitan Laporan ASEAN AHEAD: Tinjauan Masa Hadapan Ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi 2035 serta dokumen ASEAN in 2025: Shaping a Sustainable and Inclusive Future. Ketiga-tiga pelancaran ini menggambarkan komitmen ASEAN terhadap pembangunan mampan, inovasi hijau dan keusahawanan masa depan, selaras dengan semangat ASEAN 2025: Forging Ahead Together.

Keesokan harinya, 25 Oktober 2025, akan memperlihatkan deretan peristiwa bersejarah. Antara yang paling signifikan ialah Majlis Penyerahan Instrumen Penyertaan Timor-Leste kepada Piagam ASEAN serta Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) oleh Timor-Leste.

Selain itu, Mesyuarat ke-30 Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan Mesyuarat ke-37 Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) akan diadakan bagi menilai kemajuan pelaksanaan pelan tindakan komuniti ASEAN serta koordinasi antara tiga tonggak utama – politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya. Hari tersebut juga akan menyaksikan Upacara Menandatangani Perjanjian Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) oleh negara-negara rakan baharu ASEAN, mengukuhkan nilai perpaduan dan diplomasi serantau.

Acara kemuncak akan berlangsung pada 26 Oktober 2025 dengan Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, diikuti oleh Majlis Penyampaian Anugerah ASEAN Prize dan Upacara Menandatangani Deklarasi Kemasukan Rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN.

Seterusnya, Sidang Kemuncak ASEAN (Plenari) dan Sesi Retret Pemimpin-pemimpin ASEAN akan menjadi platform perbincangan tertinggi antara ketua-ketua kerajaan mengenai isu-isu strategik rantau ini termasuk hubungan dengan kuasa besar, keselamatan maritim, ekonomi digital dan kesejahteraan sosial rakyat ASEAN.

Pada 27 Oktober 2025, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Sidang-sidang Berkaitan ASEAN, termasuk dialog bersama rakan-rakan kongsi strategiknya.

Sidang-sidang berkaitan akan diteruskan pada 28 Oktober 2025, termasuk Sidang Puncak Komuniti Asia Sifar Pelepasan Karbon (AZEC) ke-3, yang memperkukuh komitmen ASEAN terhadap dekarbonisasi dan ekonomi hijau. Sidang kemuncak ini akan diakhiri dengan Majlis Penutupan Rasmi dan Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Filipina serta Sidang Media oleh Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bagi menyampaikan hasil dan pencapaian utama sepanjang persidangan berlangsung.

Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dijangka memberi impak besar terhadap hala tuju masa depan ASEAN. Ia bukan sahaja memperkukuh identiti ASEAN sebagai blok yang berdaya tahan dan progresif, tetapi turut menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam mengemudi visi ASEAN 2025: Forging Ahead Together ke arah ASEAN 2045 yang dipenuhi oleh ciri-ciri “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Salah satu detik paling bersejarah yang bakal terpahat dalam lipatan sejarah ASEAN ialah jangkaan penandatanganan perjanjian perdamaian sehubungan dengan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja di sisi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini.

Sepertimana sedia dimaklumi, akhir Julai lalu berlaku pertempuran antara antara Thailand dan Kemboja yang meragut puluhan nyawa sehingga menggusarkan ASEAN. Bagaimanapun tindakan pantas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan bantuan Amerika Syarikat dan China, membawa Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai ke Meja Rundingan Khas ASEAN di Putrajaya menghasilkan satu gencatan senjata serta-merta berkuat kuasa tepat pada jam 12:00 malam 28 Julai.

Kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah dan pengantara rundingan ini diakui oleh banyak pihak, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, sekali gus menaikkan nama Malaysia di mata dunia sebagai sebuah negara kecil yang mampu menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan pertikaian bersenjata tanpa campur tangan ketenteraan asing.

Ini selaras dengan penegasan dalam Joint Communiqué Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 (AMM-58) mengenai komitmen ASEAN terhadap penyelesaian damai, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan prinsip ASEAN Centrality sebagai teras kepimpinan serantau.

Kini dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 gencatan senjata ini akan diperkukuhkan lagi dengan jangkaan penandatanganan perjanjian perdamaian yang lebih konkrit antara Thailand dan Kemboja hasil usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN sambil disaksikan oleh Amerika Syarikat dan China.

Ini pastinya akan menjadikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai mercu tanda perpaduan serantau dan simbol keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah yang berwibawa, berprinsip dan berpengaruh di pentas diplomasi antarabangsa.

PROF. MADYA DR. NAZARIAH OSMAN adalah Dekan, Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI