fbpx
Kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA Thailand 2025 Nurul Huda Abdullah, di pusat latihan skuad menembak di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Malaysia hantar penembak terbaik ke Sukan SEA Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad menembak negara tidak gentar dengan reputasi hebat dimiliki beberapa atlet bertaraf Olimpik yang turut bersaing pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember ini nanti.

Pengurus pasukan, Mejar Jasni Shaari berkata, meskipun saingan dijangka sengit, pasukan negara juga mempunyai kekuatan tersendiri untuk mencipta kejutan untuk membawa pulang antara tiga hingga empat pingat emas.

“Tidak dinafikan Vietnam dan Indonesia juga hebat malah ada negara lain mempunyai penembak bertaraf Olimpik, tetapi mereka pun sebenarnya takut dengan kita.

“Kita juga mempunyai penembak terbaik dan pastinya pasukan lawan pun gementar dengan keupayaan penembak kita.

“Sebab itu saya tegaskan kepada atlet, jangan fikir tentang siapa lawan, fokus pada kemampuan sendiri. Sebab itu, kita jangkakan bahawa Malaysia mampu bawa pulang tiga hingga empat pingat emas,” katanya.

Menurut Jasni, sukan menembak adalah acara yang menuntut kekuatan mental dan keupayaan individu, justeru faktor pengalaman atau reputasi besar tidak menjamin kemenangan.

“Dalam menembak, tiada siapa yang boleh halang seseorang daripada mengenai sasaran tepat jika dia benar-benar berada pada prestasi terbaik. Ia semua bergantung kepada tumpuan dan ketenangan pada hari pertandingan,” tegasnya.

Tambahnya, skuad menembak kali ini menampilkan seramai 29 atlet yang akan beraksi dalam tiga disiplin utama iaitu rifle, pistol dan shotgun, merangkumi lebih 15 acara termasuk kategori individu dan berpasukan.

Antara penembak berpengalaman yang menjadi sandaran negara di temasya dwitahunan tersebut ialah penembak Olimpik, Nur Suryani Taibi dan Jonathan Wong, selain pemenang Sukan SEA, Alia Sazana Azahari dan Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI