fbpx
Mendiang Altantuya.

Mahkamah benar keluarga Altantuya mula semakan kehakiman afidavit Azilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan keluarga Altantuya Shaariibuu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman supaya polis menyiasat afidavit tambahan yang dibuat bekas pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan mahkamah bahawa Peguam Negara (AG) tidak membantah permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman terbabit.

“Mahkamah menetapkan 31 Oktober ini untuk pengurusan kes,” kata Hakim Aliza. Turut hadir peguam Sangeet Kaur Deo yang bertindak bagi pihak keluarga Altantuya.

Pada Ogos lalu, pihak peguam mewakili Altantuya dalam kenyataannya berkata, mereka memohon perintah untuk memaksa polis menyiasat kandungan afidavit tambahan Azilah Hadri bertarikh 24 September 2024.

Permohonan itu difailkan bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev di Pejabat Pendaftaran Sivil, Mahkamah Tinggi di sini.

Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Shaariibuu menyatakan, polis tidak memaklumkan kepada beliau status siasatan terkini yang dijalankan pada 2019 oleh JSJ Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan bekas pegawai Unit Tindakan Khas tersebut.

Ujar bapa mendiang, keputusan polis bertindak demikian adalah bertentangan dengan undang-undang. Tindakan itu memungkiri kewajipan berjaga-jaga dan tidak mengikut prosedur.

Menurut permohonan tersebut, jika siasatan terhadap afidavit tambahan itu masih berjalan, warga asing itu memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Selain itu, Shaariibuu selaku pemohon turut mahukan perintah mandamus supaya polis memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh Bukit Aman (responden kedua) terhadap afidavit Azilah dalam tujuh hari.

Katanya, jika polis memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai ‘no further action’, pemohon mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI