KUALA PILAH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira 2.5 kilometer (km) dari lokasi mangsa hilang di sungai belakang pasar di pekan ini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Mohd Hidayat Basly berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan daripada seorang pekerja cuci kereta di Dioh kira-kira pukul 4.51 petang.
Katanya, saksi ternampak mangsa OKU berusia 55 tahun di kawasan sungai ketika hujan lebat sebelum hilang dari pandangan.
“Setibanya di lokasi, anggota menelusuri sungai sejauh 500 meter dan tiada penemuan dilaporkan. Pada pukul 11.36 pagi tadi, mangsa ditemukan kira-kira 2.5km dari lokasi kejadian.
“Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah. – KOSMO! ONLINE