KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dari Malaysia menempa nama dalam Guinness World Records kerana menanam kohlrabi terpanjang dunia berukuran 2.33 meter, lapor laman berita Free Press Journal.
Gregory K.K. Chow mencatatkan rekod dunia tersebut di Pusat Pengajian Sains Hayat dan Teknologi Kimia Politeknik Ngee Ann, Singapura pada 20 Disember 2024.
Sayur berwarna ungu itu juga memiliki berat 11.05 kilogram.
Menurut Chow, dia mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk menanam kohlrabi tersebut selain memantau proses tumbesaran, suhu dan nutrisi tumbuhan.
Kohlrabi boleh dimakan secara mentah atau dimasak. Sayur tersebut kaya dengan vitamin C, serat, serta kalium. – AGENSI