SYDNEY – Juara empat pingat emas Sukan Olimpik, Ariarne Titmus membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan persaraan daripada sukan renang biarpun mengakui keputusan itu amat sukar dilakukannya.
Perenang Australia berusia 25 tahun itu berehat panjang sejak tamat Sukan Olimpik Paris 2024, dan pernah menyatakan hasrat untuk kembali bertanding pada Sukan Los Angeles 2028.
“Memang sukar, tapi satu keputusan yang saya sangat gembira. Saya sentiasa mencintai renang, ia sudah menjadi minat sejak kecil lagi.
“Tapi selepas mengambil masa berehat daripada sukan ini, saya sedar ada perkara dalam hidup yang kini menjadi lebih penting daripada sukan renang dan itu tidak mengapa.
“Saya sentiasa berniat untuk kembali dan saya tidak pernah sangka Paris akan menjadi Sukan Olimpik terakhir,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Titmus memenangi acara 400m gaya bebas di Sukan Olimpik Tokyo dan Paris, menewaskan perenang terkemuka Amerika Syarikat, Katie Ledecky dan digelar sebagai perlumbaan terbaik ketika itu.
Sebelum Olimpik Paris, Titmus menjalani pembedahan membuang tumor ovari dan masalah kesihatan tersebut memberi tekanan mental kepadanya.
Sebagai rekod, Titmus bersara dengan koleksi 33 pingat antarabangsa, termasuk lapan Olimpik, sembilan Kejohanan Dunia, dan lapan Sukan Komanwel. – AGENSI