SEPANG – Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia X terus memperkukuh pasaran di Asia Tengah menerusi pembukaan laluan baharu antara Kuala Lumpur dan Tashkent, Uzbekistan yang bermula semalam.
Pembukaan laluan kedua di Asia Tengah selepas Almaty, Kazakhstan sekali gus turut mengukuhkan peranan Malaysia dalam mempromosikan ASEAN selain memperluas capaian global antara kedua-dua rantau.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, syarikat itu sentiasa komited untuk mengembangkan rangkaian penerbangan jarak jauh selaon memastikan perjalanan menjadi lebih mudah diakses.
“Tahun ini, kami telah menerbangkan lebih 80,000 penumpang antara kedua-dua rantau dan jumlahnya terus meningkat dengan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai hab syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia.
“Ini membolehkan ramai penumpang menikmati sambungan tanpa henti ke lebih 130 destinasi melalui perkhidmatan Fly-Thru kami.
“Laluan baharu ini turut melengkapi agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkukuh kedatangan pelancong ke negara ini serta meletakkan Malaysia sebagai pintu gerbang utama ASEAN ke rantau baharu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Benyamin berkata, Air Asia X turut berhasrat mengembangkan pasaran di Asia Tengah dengan memberi tumpuan kepada pembukaan destinasi baharu di rantau itu seperti Baku, Azerbaijan.
“Bagaimanapun, untuk tahun ini kami membuka laluan ke Tashkent dan Istanbul, Turkiye. Bagi destinasi lain, Air Asia X akan meningkatkan kekerapan penerbangan.
“Tumpuan akan diberikan kepada sektor di seperti di Australia dengan meletakkan kapasiti penerbangan lebih rendah,” katanya.
Penerbangan AirAsia X ke Tashkent dilaksanakan dengan jumlah penerbangan sebanyak tiga kali seminggu, menawarkan lebih daripada 82,000 tempat duduk setahun dengan tambang nilai yang berpatutan bermula daripada RM799 sehala menggunakan pesawat Airbus 330-300.
Tambang promosi kini boleh ditempah hingga 26 Oktober depan bagi tempoh perjalanan sehingga 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE. – KOSMO! ONLINE