NAPLES, Itali – Legenda Manchester United, Peter Schmeichel mendakwa bekas pasukannya itu telah membuat kesilapan terbesar dua kali berturut-turut melibatkan perpindahan Scott McTominay dan Rasmus Hojlund ke Napoli.
McTominay berhijrah ke Napoli dengan harga £25.7 juta (RM145.88 juta) musim lalu dan berjaya meledak 12 gol dalam 34 aksi Serie A sehinggakan diangkat antara watak penting kejayaan kelab tersebut menjuarai gelaran Scudetto.
Kecemerlangan itu turut menyaksikan McTominay dinobatkan sebagai pemain paling bernilai Serie A musim lalu dan tersenarai dalam Anugerah Ballon d’Or.
Kini, giliran Hojlund yang dilepaskan ke Napoli secara pinjaman dengan klausa pembelian wajib musim ini, mula memperlihatkan keupayaan sebenarnya.
Penyerang berusia 22 tahun itu sudah menjaringkan empat gol daripada enam perlawanan bersama Napoli yang mana ia menyamai jumlah jaringannya dalam 32 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan United musim lalu.
“Pembelian Benjamin Sesko sedikit pelik kerana anda mempunyai Rasmus Hojlund yang memerlukan servis selama dua tahun (di Old Trafford). Anda lihat sendiri prestasinya di Napoli dengan adanya Kevin de Bruyne dan Scott McTominay.
“Sudah dua tahun setengah saya mengatakan perkara ini bahawa dia (Hojlund) mampu menjadi penyerang yang boleh meledak 25 gol buat United. Namun, dia perlukan servis.
“Sekarang kita lepaskannya disebabkan jumlah jaringannya yang sedikit dan bawa masuk Sesko. Sepatutnya kita berikan Hojlund servis kelas pertama dengan adanya Mathues Cunha dan Bryan Mbeumo,” kata Schmeichel. – AGENSI