LISBON – Dua gol yang dijaringkan ketika seri 2-2 menentang Hungary menyaksikan Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi rekod baharu dalam kempen kelayakan Piala Dunia.
Pada usia 40 tahun, dua gol yang dijaringkan mengesahkan jaringan ke-40 dirinya dalam kempen kelayakan Piala Dunia, mengatasi rekod lama milik bekas pemain Guatemala, Carlos Ruiz yang meledak 39 gol.
Ronaldo juga kini sudah pun merekodkan 143 jaringan di pentas antarabangsa bersama Portugal sekali gus melonjakkan namanya sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman.
“Kami semakin menghampiri matlamat. Ayuh Portugal,” kata Ronaldo menerusi laman media sosial X selepas negaranya kini semakin mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak menggembirakan pengendali Portugal, Roberto Martinez yang percaya pasukan itu sepatutnya mampu menamatkan perlawanan dengan lebih baik, bukannya seperti apa yang disaksikan pada tempoh 10 minit terakhir.
“Kami gagal mengawal perlawanan dengan baik khususnya pada 10 minit terakhir. Jika kami tidak mampu ‘membunuh’ perlawanan dengan lebih cepat, kami patutnya tahu cara untuk menguruskan situasi.
“Semua itu tidak berlaku pada perlawanan kali ini apabila kami seperti ‘berhenti’ daripada bermain bola sepak dan akhirnya Hungary berjaya memperoleh jaringan penyamaan pada penghujung perlawanan,” katanya. AGENSI