BEIJING – Kastam China merampas 60,000 peta yang dianggap ‘bermasalah’ kerana pelabelan Taiwan dan mengecualikan wilayah yang dituntut Beijing di Laut China Selatan, kata pihak berkuasa.
China menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk menawan pulau pemerintahan sendiri itu.
Beijing juga menuntut hampir seluruh Laut China Selatan, walaupun mahkamah antarabangsa menolaknya kerana tidak mempunyai asas undang-undang.
Peta-peta tersebut dirampas semasa pemeriksaan barang eksport di wilayah Shandong, timur China, kata pihak berkuasa kastam dalam satu kenyataan di platform WeChat.
Namun, kastam tidak menyatakan bila peta-peta tersebut dirampas atau lokasi ia dicetak.
Sebaliknya, menurut pihak berkuasa, beberapa peta salah melabelkan Taiwan dan tidak menyertakan pulau-pulau ‘penting’ serta ‘9 garis putus’ yang digunakan China untuk mewajarkan tuntutan maritimnya di Laut China Selatan.
Peta-peta lain yang dirampas tidak mengandungi garis sempadan antara pulau-pulau maritim China dan Jepun.
Peta-peta ini ‘membahayakan perpaduan nasional, kedaulatan, dan integriti wilayah. Ia dilarang diimport atau dieksport, kata pihak berkuasa kastam.
Peta telah lama menjadi topik sensitif bagi China dan negara-negara lain di rantau ini kerana tuntutan wilayah bertindih. – AFP