KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan gambar atau video mangsa dan suspek kes pembunuhan di sebuah sekolah di Bandar Utama di sini lebih-lebih lagi membabitkan kanak-kanak.
Beliau berkata, penularan gambar yang mengandungi unsur darah, kecederaan atau individu bawah umur bukan sahaja tidak sensitif terhadap keluarga mangsa, malah menyalahi undang-undang.
“Saya harap tidak timbul salah faham kononnya kerajaan mahu menutup sesuatu kes. Ini jelas termaktub dalam undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan menjaga maruah keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui di Nirvana Center, di sini hari ini.
Menurut Nie Ching, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan trauma kepada keluarga dan memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya rakan-rakan mangsa.
“Sebagai manusia dan ibu bapa, kita tentu simpati dan sedih, tetapi pada masa sama kita perlu fikir sama ada tindakan itu akan menyakitkan hati keluarga mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan sedang berbincang dengan penyedia platform media sosial bagi memperketatkan kawalan terutama melibatkan remaja bawah umur.
“Banyak platform ada garis panduan, contohnya tidak membenarkan pengguna di bawah 13 tahun. Tapi kalau tiada sistem pengesahan yang kukuh dan hanya bergantung pada pengisytiharan diri, ia tidak berkesan.
“Ini cabaran buat ibu bapa dan platform itu sendiri. Mereka mesti bertanggungjawab memastikan ruang digital tidak disalahgunakan,” katanya.
Beliau mendedahkan terdapat aduan mengenai penyebaran maklumat palsu berhubung identiti keluarga suspek dan menggesa syarikat seperti Meta bertindak lebih pantas menurunkan kandungan berunsurkan fitnah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pukul 9.30 pagi, Selasa lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam pelajar senior di sebuah sekolah di Bandar Utama.
Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek lelaki berusia 14 tahun dan merampas dua senjata tajam. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE