fbpx
Gambar hiasan

Jangan hantar anak demam, selesema, batuk ke sekolah – Dr. Dzulkefly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menggariskan enam langkah yang wajar dilaksanakan oleh ibu bapa, guru dan pelajar bagi mengekang penularan jangkitan influenza di sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah pertama adalah ibu bapa memastikan anak tidak mempunyai gejala influenza iaitu demam, selesema atau batuk sebelum menghantar anak ke sekolah.

“Sekiranya anak bergejala, ibu bapa dinasihatkan tidak menghantar anak ke sekolah dan segera mendapatkan rawatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata, langkah kedua adalah ibu bapa dinasihatkan memantau keadaan anak yang mempunyai gejala influenza.

Kata beliau, sekiranya gejala bertambah teruk, pelajar disaran mendapatkan rawatan ulangan dengan segera bagi mencegah berlaku komplikasi.

Katanya, langkah yang ketiga adalah guru menasihatkan pelajar bergejala supaya tidak memasuki kelas dan mendapatkan rawatan sebelum permulaan sesi persekolahan.

“Keempat, guru disarankan untuk memperkukuhkan pendidikan kesihatan bagi menggalakkan kawalan kendiri dan tanggungjawab bersama melalui pemakaian pelilup muka dan kebersihan tangan.

“Kelima, pihak sekolah disaran membuat pelaporan awal kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan agar tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau, langkah seterusnya adalah tindakan penutupan premis termasuk sekolah boleh dilaksanakan oleh pihak pentadbiran melalui perbincangan dan kerjasama dengan PKD berdekatan.

“Jika penularan hanya terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan hendaklah difokuskan kepada kumpulan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI