JAKARTA – Seekor harimau Sumatera dirakam berkeliaran di hadapan pejabat Pusat Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) di Agam, wilayah Sumatera Barat semalam, lapor laman berita Tribunnews.
Kejadian pada awal pagi itu dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV).
Dalam video itu, haiwan tersebut dilihat berlegar-legar mengelilingi pejabat agensi kerajaan itu, dari hadapan hingga belakang.
Ketua Resort Konservasi Maninjau II, Pusat Pemuliharaan Sumber Asli (BKSDA) Sumatera Barat, Ade Putra berkata, harimau itu berkeliaran sekitar pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) semalam.
“Ketika ini, kami menetapkan status amaran tahap satu,” katanya.
Tambah Ade, pihaknya turut melarang penduduk melakukan aktiviti di kawasan sekitar harimau itu dilihat.
“Kami berkoordinasi dengan pegawai kampung untuk melarang sementara penduduk daripada melakukan aktiviti.
“Selain itu, kami juga berkoordinasi dengan pimpinan BRIN untuk meminta pekerja mereka agar tidak melakukan aktiviti luar,” tambahnya. – AGENSI