MANCHESTER – Bekas pemain Manchester United, Paul Parker mengakui bimbang jika pemain pertahanan, Luke Shaw dipilih berada dalam kesebelasan utama menjelang aksi menentang Liverpool di Anfield Ahad ini.
Skuad kendalian Ruben Amorim itu terdesak untuk meraih satu lagi kemenangan selepas kejayaan menewaskan Sunderland sebelum ini selain mereka dilihat memiliki peluang apabila Liverpool tidak berada pada prestasi terbaik selepas tewas tiga aksi berturut-turut.
Musim lalu menyaksikan United berjaya meraih mata ketika bertandang ke Anfield, namun musim ini menyaksikan Parker tidak begitu yakin mereka mampu mengulangi persembahan sama.
Lebih meresahkan, Parker mengakui Shaw yang turun dalam kesebelasan utama untuk tujuh perlawanan sebelum ini sebagai benteng tengah dengan formasi 3-4-3 akan menjadi titik lemah pasukan itu dan mudah untuk ditembusi oleh Mohamed Salah serta rakan-rakan lain.
“Anda boleh lihat pasukan yang mereka tentang sebelum ini, mereka tidak mampu mengawal kepantasan dan kekuatan. Liverpool akan mengambil kesempatan terhadap mereka, terutama di bahagian kiri yang dijaga oleh Luke Shaw.
“Salah akan menggunakan kepantasan larian untuk bersama bola atau sebaliknya dan anda hanya mempunyai Luke Shaw yang semua orang tahu agak ‘pemalas’ menyebabkan dia mungkin akan kerap menarik baju pemain Liverpool itu,” katanya.
Shaw sebelum ini turut berdepan kritikan daripada bekas kapten United, Roy Keane yang menuduh pemain itu mengakui kalah sebelum perlawanan berakhir ketika mereka tewas berdepan Manchester City. – AGENSI