fbpx
Gambar hiasan. JANAAN AI

Elak papar watak pembuli nampak bergaya, berkuasa dalam filem, drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penggiat seni diseru supaya lebih peka terhadap mesej yang ingin disampaikan melalui karya masing-masing, terutama dalam menggambarkan isu sensitif seperti budaya buli.

Public Health Malaysia (PHM) dalam satu kenyataan di Facebook menegaskan, walaupun seni filem seharusnya bebas berkarya dan menyentuh pelbagai aspek sosial, kebebasan itu perlu datang bersama tanggungjawab.

“Kami tidak menafikan hak anda untuk berkarya. Seni filem perlu bebas bebas untuk mengkritik, menyentuh, dan menggugah. Namun dalam situasi sosial hari ini, kebebasan itu mesti datang bersama tanggungjawab,” kata PHM.

Menurut kenyataan itu, penggunaan istilah seperti ‘buli’ atau ‘ragging’ sebagai tajuk filem wajar dinilai semula kerana ia bukan sekadar istilah popular, tetapi mewakili trauma sebenar yang masih dialami oleh ramai mangsa.

“Istilah itu bukan jenama, bukan tarikan pemasaran. Ia luka sebenar yang masih segar pada ramai. Tajuk ‘ragging’ tidak salah secara undang-undang, tetapi kurang sensitif secara sosial dan emosi,” jelas PHM.

PHM turut mengingatkan agar pengarah dan penerbit tidak lagi menampilkan watak pembuli sebagai individu yang kelihatan ‘cool’, bergaya, kacak atau berkuasa.

“Kerana di dunia nyata, wajah yang sama sedang menghantui mangsa di sekolah, universiti dan tempat kerja,” katanya.

Selain itu, PHM turut menyentuh tentang paparan adegan merokok dalam filem dan drama yang sering dikaitkan dengan simbol tekanan atau pemberontakan.

“Adegan merokok tidak lagi wajar dipaparkan sebagai lambang tekanan atau pemberontakan. Kita sedang berjuang menghapuskan budaya merokok, bukan mengangkatnya semula di layar perak,” jelas kenyataan itu.

PHM turut menyeru agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Lembaga Penapisan Filem (LPF) memainkan peranan lebih tegas dalam memastikan kandungan filem tempatan tidak menggalakkan budaya negatif.

“Jika benar kita komited untuk membanteras budaya buli, MCMC dan LPF juga perlu memikul tanggungjawab ini.

“Kepada semua pembuat filem, mohon ambil teguran ini secara positif. Ini bukan sekatan terhadap seni, tetapi seruan agar seni terus berpihak pada kemanusiaan. Kerana di tangan anda, ada kuasa untuk membentuk cara generasi akan melihat dan mempercayai apa itu benar dan salah,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI