BALIK PULAU – Tiga lelaki termasuk dua beradik ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Pantai Jerejak, di sini dan Sungai Petani di Kedah, 10 Oktober lalu selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran ganja.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, polis turut merampas ganja seberat 49.38 kilogram (kg) bernilai lebih RM153,000.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 33 dan 43 tahun di dalam sebuah kereta dipercayai sedang menjalankan urus niaga penjualan dadah di kawasan Pantai Jerejak, kira-kira pukul 9 malam.
“Pemeriksaan lanjut menemui 65 ketulan mampat ganja dengan berat keseluruhan 49.38 kg yang dianggarkan bernilai RM153,078,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan penahanan itu, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 48 tahun yang bekerja sebagai nelayan di Sungai Petani, Kedah, dipercayai abang kepada suspek berusia 43 tahun.
Sazalee berkata, lelaki terbabit disyaki dalang utama sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan ganja dari negara jiran menggunakan jalan darat sebelum diserahkan kepada orang tengah untuk diedarkan.
Katanya, sindiket itu aktif sejak dua tahun lalu dan menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang serta negeri-negeri di wilayah utara.
“Polis turut menyita kereta jenis Proton Exora dan Nissan Sentra dan semakan mendapati kesemua suspek mempunyai dua hingga empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Mereka direman selama tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE