KLANG – Polis Selangor membekukan cuti lebih 15,000 pegawai dan anggotanya sepanjang musim perayaan Deepavali dan persediaan sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pembekuan cuti sementara berkenaan bermula 18 hingga 30 Oktober ini bertujuan memastikan elemen keselamatan terjamin dan penempatan penugasan berjalan dengan lancar.
“Jadi, tidak masalah dalam menggerakan anggota dan pegawai ini. Memang mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas walkabout bersama usahawan Little India sempena Deepavali di sini hari ini.
Menurut beliau, polis akan melaksanakan operasi khas dalam memastikan keadaan jenayah di kawasan Selangor khususnya terkawal.
“Kita ada kawasan-kawasan fokus dan bukannya sebarangan operasi dijalankan. Kita ada hot-spot atau lokaliti sasaran berdasarkan kajian-kajian telah dibuat.
“Rondaan juga sentiasa dilakukan dan akan dipertingkatkan berdasarkan keperluan semasa serta tidak tertumpu kepada musim-musim perayaan sahaja,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan masyarakat menyertai kempen pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam membantu menyalurkan maklumat dan membuat aduan kepada polis dalam pencegahan jenayah. – KOSMO! ONLINE