PETALING JAYA – Tiga minggu berkampung di hospital, penerbit Datuk A. Aida yang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan akibat komplikasi selepas pembedahan lutut dibenarkan pulang semalam.
Azeva Natassha, 24, berkata, buat masa ini ibunya masih dalam fasa penyembuhan dengan mendapatkan rehat secukupnya di rumah sebelum kembali aktif bekerja.
“Mama sudah dibenarkan pulang. Alhamdulillah, terima kasih banyak atas doa kalian semua.
“Sekarang dia perlu berehat (bersama anak kesayangannya) selama beberapa bulan sebelum benar-benar dapat berjalan semula tanpa bantuan,” tulisnya dalam laman sosial.
Menerusi hantaran tersebut, anak kedua daripada tiga bersaudara itu memuat naik gambar ibunya yang sedang duduk di atas kerusi roda.
Kata Azeva, 25, doktor yang merawat insan kesayangannya itu turut menyifatkan tahap kesihatan terkini ibunya sebagai keajaiban.
“Doktor beritahu, keadaannya benar-benar satu keajaiban dan semuanya berkat doa semua.
“Kami sangat bersyukur kepada semua yang mendoakan,” ujarnya.
A. Aida atau nama sebenar, Zaidah Awang, 55, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat rebah selepas melakukan fisioterapi pada 25 September lalu.
Lebih membimbangkan ketika itu dilaporkan penerbit drama terbabit terpaksa ditidurkan, tetapi sedar beberapa hari kemudian sebelum dipindahkan ke wad biasa. – KOSMO! ONLINE