fbpx
Johari (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) KWAP Dana Iklim+ sempena Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (iGEM) 2025 hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

ASEAN main peranan penting tangani krisis iklim – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan bahawa setiap negara ASEAN perlu memainkan peranan serta menunjukkan kepimpinan dalam menangani krisis iklim yang semakin meruncing.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penarikan diri Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris memberi isyarat yang membimbangkan dan mencerminkan corak pemikiran berbahaya yang melemahkan tindakan global secara kolektif.

Justeru, beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah meletakkan kelestarian dan tindakan iklim sebagai teras agenda serantau, dengan tekad untuk menjadi pemacu perubahan.

“Menerusi Kuala Lumpur Sustainability Summit 2025 (KLSS 2025), Malaysia telah memperkukuh wacana iklim ASEAN dengan menyatukan rantau ini di bawah tiga keutamaan utama: adaptasi, mitigasi dan daya tahan.

“Melalui International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2025 (IGEM 2025), kita bergerak daripada dasar kepada peluang untuk menukar perbincangan kepada perkongsian, dan perkongsian kepada projek,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian IGEM dan Majlis Penutup KLSS 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Johari berkata, IGEM bukanlah platform eksklusif untuk syarikat-syarikat besar semata-mata, ia juga merupakan platform untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“PMKS sering paling hampir dengan komuniti setempat dan paling berupaya mendorong inovasi di peringkat akar umbi.

“Dengan melibatkan PMKS, Malaysia memastikan manfaat peralihan hijau dikongsi secara meluas, mewujudkan pekerjaan berkualiti, membuka pasaran baharu, dan memperkasa bakat tempatan untuk berjaya dalam rantaian nilai kemampanan global,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang akan membimbing pembangunan negara dari 2026 hingga 2030, meletakkan kemampanan, ekonomi hijau dan keterangkuman sebagai teras pertumbuhan.

“Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Nasional (RUUPIN) yang akan diperkenalkan bakal menjadi kerangka penting untuk menginstitusikan tadbir urus iklim dan mewujudkan asas bagi pasaran karbon serta skim perdagangan pelepasan negara.

“Selari dengan itu, kerajaan kini memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Nasional yang akan menentukan pendekatan Malaysia terhadap perdagangan karbon dan penggunaan harga karbon untuk mendorong pelaburan, inovasi dan pertumbuhan rendah karbon,” katanya.

Jelasnya, dasar tersebut akan memperkenalkan kerangka berfasa bagi pasaran karbon pematuhan dan sukarela, disokong oleh sistem pengukuran, pelaporan dan pengesahan (MRV) yang mantap.

“Ia juga akan menggalakkan projek kredit karbon dalam bidang perhutanan, tenaga boleh diperbaharui, dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

“Perkara itu sekali gus mewujudkan peluang pendapatan baharu untuk kerajaan negeri, komuniti tempatan dan pelabur swasta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI