fbpx
Fadillah (tujuh dari kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika AMEM 2025 dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto IQBAL ROSLI KOSMO!

ASEAN capai 8 kejayaan besar sektor tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – ASEAN mencapai lapan kejayaan utama dalam sektor tenaga serantau menerusi Mesyuarat ke-43 Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM), sekali gus memperkukuh komitmen rantau ini terhadap agenda peralihan tenaga hijau dan mampan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Transisi Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kejayaan tersebut membuktikan ASEAN semakin bersatu dalam usaha memastikan bekalan tenaga yang mampan, mampu milik dan inklusif tanpa meninggalkan mana-mana negara di belakang.

“Di bawah Pengerusian Malaysia, AMEM ke-43 telah meluluskan Memorandum Persefahaman Dipertingkat mengenai Grid Kuasa ASEAN yang menjadi asas penting kepada keterhubungan tenaga serantau.

“Kita juga meluluskan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN 2026–2030, menandatangani Perjanjian Pengganti Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA), dan melancarkan Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN dengan komitmen melebihi AS$12 bilion,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian AMEM 2025 dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, antara pencapaian lain yang diumumkan ialah Rangka Kerja Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui, Rangka Kerja Pembangunan Loji Kuasa Nuklear ASEAN, serta pemuktamadan Terma Rujukan bagi Kabel Kuasa Dasar Laut dan Pelan Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu.

Malaysia turut mengetuai penubuhan Sekolah Peraturan ASEAN yang akan berfungsi sebagai pusat latihan dan penyelarasan piawaian tenaga serantau, selain pelancaran Pangkalan Data dan Platform Pelaburan Kecekapan Tenaga ASEAN.

Menurut Fadillah, semua inisiatif ini akan memperkukuh jaringan tenaga serantau, mempercepat peralihan kepada sumber bersih, dan membuka ruang pelaburan baharu dalam industri tenaga hijau.

“Sejak Malaysia menjadi tuan rumah AMEM pada 2015, kita telah menyaksikan kemajuan luar biasa termasuk kejayaan Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura yang kini beroperasi penuh, membuktikan perkongsian kuasa serantau bukan lagi cita-cita, tetapi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN kini menikmati peningkatan dua kali ganda tenaga boleh baharu dan penjimatan tenaga lebih 25 peratus sejak tahun 2005, hasil kesepakatan serta keazaman semua negara anggota. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI