fbpx
BINTANG Harimau Malaya dan JDT, Arif Aiman (kanan) bersama Salem Al Dawsari pada sidang media sebelum Majlis Anugerah Tahunan AFC 2025 yang dijadualkan berlangsung awal pagi nanti. - JOHOR Southern Tigers

Arif Aiman mahu contohi Akram, Salem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kualiti dua bintang bola sepak Asia, Akram Afif dan Salem Al Dawsari menjadi penanda aras buat tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi untuk jadi pemain lebih baik pada masa akan datang.

Selepas turut dicalonkan dalam kategori Pemain Terbaik Tahunan pada Anugerah Bola Sepak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025 bersama Akram dan Salem, Arif Aiman mengakui pengiktirafan itu sebagai titik mula baginya untuk jadi pemain lebih baik.

“Saya sentiasa berikan yang terbaik untuk kelab dan negara. Jadi saya amat teruja menjadi pemain Malaysia pertama yang berada di sini dan ini baharu permulaan bagi saya.

“Saya perlu bersedia untuk bekerja lebih keras dan menumpukan sepenuh komitmen bagi mencapai tahap seperti Salem dan Akram. Saya akan menjadikan mereka sebagai contoh dan dorongan untuk memikul tanggungjawab serta mencapai tahap tertinggi,” katanya.

Untuk berada dalam senarai tiga terbaik sudah menjadi pencapaian hebat buat Arif Aiman memandangkan Akram hadir selaku pemenang anugerah itu sebanyak dua kali manakala Salem adalah watak penting kepada kekuatan Arab Saudi.

Arif Aiman bergelar anak Malaysia pertama yang dicalonkan untuk merebut anugerah itu dan penyenaraiannya dilihat hasil daripada persembahan baik ketika bantu Harimau Selatan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim lalu hingga mara ke pusingan 16 terbaik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI