JEDDAH – Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengumumkan projek pembangunan pelbagai guna baharu di kota suci Mekah dinamakan King Salman Gate, lapor agensi berita United Press International semalam.
Projek mega itu merangkumi kawasan seluas 1,199 hektar di tengah kota Mekah, demikian menurut kenyataan akhbar.
Selain meningkatkan akses ke Masjidil Haram yang terletak bersebelahan, King Salman Gate bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkayakan perjalanan pelawat, seiring dengan matlamat Program Pengalaman Jemaah.
“Pusat ini akan menawarkan pengalaman kediaman, hospitaliti, komersial dan kebudayaan. Ia akan mempunyai kira-kira 900,000 ruang solat di dalam dan luar,” kata kenyataan tersebut.
Selain itu, King Salman Gate mempunyai sambungan lancar kepada pengangkutan awam bagi memastikan akses mudah dan selesa.
Ia akan memulihkan dan membangunkan kira-kira 1.9 hektar tapak warisan, memulihara warisan budaya dan sejarah kawasan itu.
Projek itu juga akan menyumbang kepada matlamat transformasi ekonomi Arab Saudi, Wawasan 2030 dengan menjana lebih 300,000 pekerjaan menjelang 2036, tambah kenyataan sama.
Projek King Salman Gate dibangunkan oleh syarikat Rou’a Al-Haram Al-Makki yang merupakan anak syarikat Public Investment Fund. – AGENSI