BALING – Polis menahan empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah di daerah ini kerana disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan sejak Mei lalu.
Suspek terlibat juga disyaki menyebarkan bahan lucah itu sebelum ia tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun kira-kira pukul 8 malam, Ahad lalu berhubung penularan rakaman video anaknya berusia 15 tahun dalam keadaan berbogel.
Katanya, pengadu dimaklumkan tentang perkara tersebut oleh seorang guru disiplin kira-kira pukul 11 pagi, hari sama.
Menurutnya, susulan laporan itu, tiga pelajar sekolah berkenaan dan seorang bekas pelajar sekolah sama berusia 15 hingga 17 tahun ditahan pada pukul 9.30 malam, hari sama untuk membantu siasatan.
“Siasatan mendapati empat suspek itu disyaki terlibat melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu. Kejadian disyaki berlaku di beberapa lokasi termasuk di dalam kelas sekolah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan dan direman lima hari bermula dari tarikh tangkapan
“Sebanyak enam telefon bimbit dirampas untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE