fbpx
DUA pelajar lelaki berusia 17 tahun tiba di Mahkamah Alor Gajah menaiki kenderaan polis bagi menghadapi pertuduhan kes rogol berkumpulan pelajar junior. Foto oleh AMRAN ALI/ KOSMO!

2 pelajar kes rogol junior didakwa, seorang mengaku salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan seorang junior dan merakamkan kejadian di sebuah sekolah dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah hari ini.

Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan di depan Majistret Dr. Teoh Shu Yee atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan rogol secara berkumpulan, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan amang seksual fizikal.

Bagaimanapun, hanya seorang mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan, manakala seorang lagi minta untuk dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rogol secara berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan yang juga pelajar tingkatan tiga.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dalam pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara mangsa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kelas Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Alor Gajah pada pukul 2.50 petang, 30 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan dilakukan amat serius dan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh.

Peguam Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh pertama memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya baru menjalani pembedahan sinus dan menghidap penyakit angin pasang.

Tertuduh kedua yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) turut memohon jaminan rendah dan bersedia mematuhi syarat mahkamah.

Shu Yee kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,500 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan RM7,000 setiap seorang.

Beliau turut menetapkan tarikh 26 November depan untuk sebutan serahan dokumen bagi tertuduh pertama dan laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum hukuman dijatuhkan.

Kosmo! pada 11 Oktober lalu melaporkan empat suspek berusia 17 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI