PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 2.2 juta kenderaan sehari akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya pada 17, 18 dan 21 Oktober ini, sempena sambutan Deepavali dan cuti sekolah tambahan yang diumumkan kerajaan.
PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikatnya itu telah bersiap sedia menghadapi lonjakan trafik tersebut dengan memberi tumpuan kepada pengurusan kesesakan, pengagihan trafik dan keselesaan pengguna bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selamat.
“Pengguna lebuh raya disarankan untuk merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan jadual perjalanan menerusi MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS bagi perjalanan di Lebuh Raya kendalian PLUS dan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 17 hingga 22 Oktober 2025 akan datang.
“PLUS menasihatkan orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan MyPLUS-TTA bukan sahaja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung, malah menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti sempena Deepavali,” katanya.
Sementara itu, bagi melancarkan trafik di lokasi tumpuan, PLUS akan mengaktifkan smart lane di 28 lokasi sepanjang lebuh raya kendaliannya.
Jelas PLUS, pengaktifan lorong tambahan itu akan dimaklumkan menerusi papan tanda khas dan lampu hijau berkelip (green flashing light) di lokasi terlibat.
“Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ketika smart lane diaktifkan, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memandu dengan had laju yang disarankan iaitu sekitar 60 kilometer perjam.
“Pengguna dilarang sama sekali menggunakan lorong kecemasan di lokasi lain yang tidak mempunyai laluan smart lane bagi mengelak berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” tegasnya.
PLUS juga memaklumkan tiada sebarang penutupan lorong penyelenggaraan akan dilakukan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari 17 hingga 23 Oktober, kecuali bagi kerja pembaikan kecemasan atau melibatkan risiko keselamatan pengg
“Selain itu, pengguna di lebuh raya dinasihatkan untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet (bagi pengguna RFID) mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
“Pastikan kad Touch ‘n Go juga tidak tamat tempoh dan menyemak status kad menerusi portal atau aplikasi Touch ‘n Go,” katanya. – KOSMO! ONLINE