PONTIAN – Tindakan tiga premis yang menyedia perkhidmatan urut dan refleksologi di bandar Pontian di sini menggajikan tukang urut ‘haram’ membawa padah apabila digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam Ops Gegar Pontian, petang kelmarin.
Dalam operasi bermula pukul 7 petang itu, seramai 15 warga asing serta dua lelaki tempatan masing-masing berusia 21 hingga 56 tahun diberkas.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada dua lelaki Myanmar, seorang wanita Indonesia, tiga wanita Laos, tiga wanita Myanmar dan enam wanita Thailand.
“Kesemua disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, dan masuk tanpa permit sah, manakala dua warga tempatan disiasat kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Semua tahanan dihantar telah ke Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut, manakala enam borang saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi,”katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Tambah Mohd Rusdi, serbuan berkenaan membuktikan JIM Johor serius membanteras penyalahgunaan pas lawatan dan kegiatan tidak bermoral.
“JIM Johor tidak akan berkompromi terhadap majikan dan pemilik premis yang melanggar undang-undang serta akan terus memburu PATI,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE