fbpx
KEKALAHAN Sze Fei-Izzuddin menjadikan dua beregu terbaik negara sudah tersingkir daripada Terbuka Denmark. - AFP

Terbuka Denmark: Giliran DinFei ‘angkat kaki’ awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi nama besar terbaharu yang tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Jyske Bank Arena sebentar tadi, pasangan No.3 dunia itu terpaksa akur tewas 13-21, 21-13, 14-21 kepada Ben Lane-Sean Vendy dari England.

Keputusan itu menyaksikan mereka mengikut jejak langkah bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut tersingkir selepas kalah kepada beregu Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat.

Sze Fei-Izzuddin yang turun sebagai pilihan ketiga gagal untuk menyekat kemaraan gandingan itu yang masih segar dengan kejayaan menjulang gelaran Terbuka Arctic minggu lalu.

Sebaik tewas di set pertama, pasangan yang terkenal dengan julukan DinFei itu bangkit pada set berikutnya dan berjaya mengheret perlawanan ke aksi penentuan.

Memasuki set ketiga, Lane-Vendy lebih banyak memimpin perlawanan selain memanfaatkan kesilapan-kesilapan mudah dilakukan Sze Fei-Izzuddin.

Walaupun cuba untuk bangkit daripada ketinggalan 6-12, namun beregu negara terpaksa akur tidak dapat mengejar kedudukan lawan sebelum tewas 14-21.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan banyak masalah melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dari Indonesia.

Pada perlawanan tersebut, naib juara dunia itu memerlukan masa 35 minit bagi mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-17 dan meneruskan kemaraan.

Menanti mereka di pusingan kedua esok adalah beregu Jepun, Arisa Igarashi-Chiharu Shida yang menewaskan pasangan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-7, 21-16. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN