KUALA LUMPUR – Kejutan berlaku pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense selepas beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir seawal pusingan pertama.
Pada perlawanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena sebentar tadi, bekas juara dunia itu tewas straight set 17-21, 13-21 kepada Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat dari Indonesia.
Keputusan itu pastinya sesuatu yang mengejutkan memandangkan mereka turun ke kejohanan Jelajah Dunia Super 750 itu sebagai pilihan kedua.
Pada set pertama, kedua-dua beregu saling bertukar servis di awal permainan, namun Rian-Rahmat mengawal sepenuhnya di pertengahan perlawanan sebelum menang 21-17.
Skrip sama kembali berulang di set kedua apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada awal permainan sebelum beregu Indonesia itu mengorak langkah dan melengkapkan kemenangan.
Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal mengekalkan momentum yang ditunjukkan minggu lalu ketika mereka muncul naib juara pada kejohanan Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.
Pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu kini memiliki masa beberapa hari untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Terbuka Perancis minggu depan. – KOSMO! ONLINE