fbpx
Buli perlu dihentikan di mana-mana institusi pendidikan. Gambar hiasan

Sikap ibu bapa punca anak jadi pembuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mutakhir ini masyarakat semakin kerap disajikan dengan laporan kes buli dalam kalangan pelajar.

Menerusi pendedahan maklumat mahupun video, ada mangsa yang dipukul beramai-ramai, diherdik atau dipaksa melakukan sesuatu.

Situasi yang semakin membarah ini bukan sahaja mencetus kebimbangan masyarakat, malah untuk mengenal pasti punca juga dianggap begitu mencabar. Ada yang menyalahkan sistem didikan di sekolah, rakan-rakan, gajet dan tidak kurang juga meletakkan kesalahan itu ke atas bahu ibu bapa.

Golongan itu dikatakan gagal mendidik anak-anak di rumah dan tidak menunjukkan contoh yang baik.

Kaunselor di Universiti Tenaga Nasional, Asmat Omar berkata, sikap ibu bapa sendiri menjadi antara punca utama anak-anak menjadi pembuli.

Katanya, hakikat ini sukar untuk diterima, namun ini realiti yang harus didengari dan diperbaiki.

“Mungkin ramai tak setuju. lni bukan sebab ibu bapa itu jahat, tapi kadang-kadang cara didikan atau suasana di rumah itu tanpa sedar membentuk perangai buli dalam diri anak.

“Ibu bapa adalah contoh pertama dan paling penting untuk anak. Kalau kita nak anak jadi orang yang baik, kita kena tunjuk contoh yang baik,” katanya.
Asmat berkata, kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa antara punca anak-anak cenderung menjadi pembuli. Keadaan itu boleh menyebabkan anak-anak berkelakuan ganas dan meneruskan kitaran tingkah laku yang mereka pelajari di rumah.

“Apabila anak rasa tidak disayangi atau diabaikan, dia akan rasa ‘kosong’ dan tak penting. Cara mudah untuk mendapatkan perhatian adalah menunjukkan kuasa atau buat orang takut. Jadi, dia buli kawan-kawan sebab nak ada ‘kuasa’ yang tiada di rumah.

“Anak ini ibarat span, serap semua yang dia nampak. Kalau ibu bapa selalu marah, maki hamun atau pukul bila anak buat salah, dia akan berfikir ‘Oh, ini cara nak selesaikan masalah’ dan menggunakan cara sama ke atas kawan-kawan yang lemah,” ujarnya.

Menurutnya, keadaan sama dapat dilihat apabila anak-anak dimanjakan secara berlebihan tanpa didikan nilai tanggungjawab hingga menimbulkan rasa kebal dalam diri mereka.

Beliau berpendapat, ibu bapa perlu memahami bahawa mereka tidak boleh menjadi kawan kepada anak-anak, tetapi menggunakan disiplin apabila perlu selain menunjukkan teladan baik.

“Anak-anak mendambakan disiplin. Mereka bergantung pada struktur, peraturan dan pengajaran ibu bapa untuk membimbing ke jalan yang betul. Ibu bapa yang memenuhi semua kehendak anak, tidak pernah menegur apabila buat salah atau selalu ‘selamatkan’ anak membuatkan si anak rasa kebal,” katanya.

Asmat berkata, ramai pembuli mahu menjadi popular atau mempunyai rasa entitlement (hak) termasuk ingin disanjung dan mengharapkan semua orang mengikut kehendak mereka.

Pembuli, katanya, kurang empati dan tidak diajar untuk memikirkan kesan perbuatan mereka terhadap orang lain.

“Tingkah laku membuli adalah isyarat amaran bahawa anak-anak belum belajar untuk mengawal agresif.

“Pembuli memerlukan kaunseling profesional untuk mencari punca masalah dan belajar cara sihat untuk berinteraksi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN