fbpx
Erma bimbang dan hairan dengan penularan gejala sosial melampau dalam kalangan generasi muda zaman sekarang.

‘Saya tertanya, iblis mana rasuk budak muda zaman sekarang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Kita salahkan pemimpin, menteri, sistem pendidikan, kita nak salahkan siapa lagi?”

Itu persoalan tajam yang dilontarkan penerbit dan pengarah tersohor, Erma Fatima, apabila menegur sikap segelintir ibu bapa masa kini yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak mengguna telefon pintar tanpa kawalan sehingga membawa padah.

Ujar Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, dek keghairahan mengejar gaya hidup moden, ramai lupa bahawa telefon pintar boleh menjadi ‘senjata luar’ paling berbahaya dalam mencorakkan minda dan moral generasi muda.

“Kita lupa untuk salahkan diri sendiri kerana beri kebebasan pada anak-anak dengan senjata luar paling bahaya yang mampu merosakkan mereka iaitu telefon pintar.

“Bukan semua anak mampu guna telefon dengan bijaksana. Kadang-kadang saya tertanya, iblis jenis mana yang sedang merasuk manusia pada zaman ini.

“Setiap hari ada saja berita mengerikan sejak kebelakangan ini,” katanya dalam Threads.

Teguran lantang pengarah drama Diva Popular itu disambut hangat netizen yang turut meluahkan rasa bimbang terhadap fenomena sosial melibatkan remaja ketika ini.

“Betul kata Kak Erma, telefon boleh jadi racun kalau tiada sempadan. Ramai ibu bapa leka sebab fikir itu tanda kasih sayang,” kata netizen.

“Saya setuju. Dunia digital memang bantu macam-macam, tapi tanpa kawalan, anak-anak boleh hanyut dalam bahaya tanpa sedar,” ujar pengguna media sosial.

“Ada baiknya telefon disekat atau dipantau, sebab bukan semua mampu bezakan dunia realiti dan maya,” tulis pengikut di ruangan komen.

Terdahulu, isu sosial melibatkan pelajar sekolah terus menjadi mimpi ngeri buat masyarakat apabila kes jenayah dalam kalangan remaja semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Antara kes mengejutkan termasuk seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut disyaki ditikam pelajar lelaki berumur 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, baru-baru ini.

Selain itu, kes membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun yang menjual tubuh dalam aplikasi WhatsApp.

Kes lain yang juga menyayat hati adalah seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Alor Gajah mengalami trauma selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar senior minggu lalu. – KOSMO! ONLINE ‎

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI