fbpx
BEBERAPA keping gambar Noryani membonceng tiga anaknya yang tular di media sosial sejak semalam.

‘Saya terdesak, dapat RM30 sehari sudah bersyukur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang ibu muda tidak menyangka usahanya untuk mencari rezeki meskipun terpaksa membonceng tiga anak termasuk seorang bayi ketika menghantar makanan di sekitar daerah ini tular di media sosial sejak semalam.

Noryani Syakira Yaakob, 23, berkata, tindakannya itu bukan untuk meraih perhatian, sebaliknya dilakukan atas desakan hidup bagi membantu suaminya yang bekerja di bengkel dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

“Saya terpaksa bawa anak-anak bersama kerana tiada siapa dapat menjaga mereka di rumah. Dalam sehari, dapatlah (upah) RM20 hingga RM30 selepas ditolak duit minyak. Itupun saya sudah bersyukur.

“Anak-anak saya berusia lima dan dua tahun, paling kecil (usia) 10 bulan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Menurut wanita itu, sebelum ini dia pernah bekerja sebagai pembantu jualan ayam gunting, namun terpaksa berhenti kerana berdepan kesukaran menguruskan anak-anak.

Katanya, kejadian tular itu dipercayai dirakamkan dua minggu lalu ketika dia menghantar pesanan nasi goreng dari Bukit Katil ke Hospital Melaka di sini dengan upah RM5.

“Saya sudah dua bulan bekerja sebagai penghantar makanan bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari. Setiap pagi selepas menghantar anak sulung ke tadika di Bukit Katil, saya buat penghantaran sambil membawa dua anak menggunakan motosikal suami.

“Walaupun pendapatan tidak seberapa, namun cukup untuk menampung keperluan harian termasuk membeli susu, lampin dan sewa rumah RM350 sebulan,” katanya yang menetap di Bukit Lintang.

Jelas wanita itu, dia hanya melakukan penghantaran ketika cuaca baik kerana bimbang akan keselamatan anak-anaknya.

Terdahulu, dalam hantaran tular itu, Noryani dikecam segelintir netizen yang mendakwa dia tidak sepatutnya membahayakan nyawa anak-anak, namun tidak kurang juga yang menzahirkan simpati tentang nasib keluarganya dan berhasrat untuk membantu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541000567835 atas nama Noryani Syakira Yaakob. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI