PETALING JAYA – “Saya betul-betul sangat sedih. Apa yang saya cakap pun sudah tiada guna, sebab nyawa anak orang dah hilang.”
Demikian luahan pilu bapa pelajar lelaki yang ditahan selepas dipercayai menikam seorang pelajar perempuan sehingga maut di sebuah sekolah di Bandar Utama, di sini semalam.
Katanya, dia masih terkejut dan tidak menyangka anak lelakinya sanggup bertindak sedemikian sehingga meragut nyawa rakan sekolahnya.
“Saya betul-betul tak sangka (kejadian) ini akan berlaku. Saya tidak dapat bayangkan,” katanya di sini semalam.
Katanya, pada hari kejadian, dia menghantar anaknya ke sekolah seperti biasa dan remaja itu tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang luar biasa.
“Pagi tadi (semalam) semuanya biasa sahaja. Dia seorang yang pendiam dan agak ‘introvert’. Saya ada tanya dia apa yang berlaku di sekolah, kalau ada apa-apa yang tak baik, buli, atau cikgu marah, minta dia beritahu kami.
“Tapi setiap kali kami tanya, dia cuma kata tak ada apa. Dia tak pernah sebut pun tentang perempuan itu. Dia memang sangat pendiam, tak banyak bercakap dan tak suka cari gaduh atau usik orang,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, mangsa yang berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah akibat kecederaan dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya kemudian menahan pelajar lelaki berusia 14 tahun selain merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE